Tembakan di masjid al-Furqan, Narathiwat


ANGGOTA keluarga mangsa serangan di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan Narathiwat kelmarin, melihat jemaah yang mati ditembak penyerang bersenjata raifal ketika solat Isyak.

12 jemaah ditembak mati ketika imam baca al-Fatihah pada rakaat kedua solat Isyak

NARATHIWAT (Selatan Thailand): "Ketika itu saya hanya terfikir saat kematian dan tidak mampu berpaling melihat siapa menembak kami," kata Nasir Ibrahim, salah seorang jemaah yang terselamat dalam serangan ketika solat Isyak di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, dekat sini malam kelmarin.

Nasir, 42, yang juga penghulu kampung itu berkata, imam Wan Abdullah Wan Latif, 62, sedang membaca surah al-Fatihah pada rakaat kedua apabila mereka diserang dua lelaki bersenjatakan raifel kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia itu.

Dua penyerang itu, yang berpakaian serba hitam, masing-masing berada di pintu utama dan sebelah kanan masjid berkenaan, melepaskan tembakan dari jarak kurang tiga meter ke arah jemaah, menyebabkan kebanyakan mangsa mati akibat terkena tembakan di kepala dan tubuh badan masing-masing.

10 jemaah termasuk Wan Abdullah mati serta-merta, manakala dua lagi jemaah meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Narathiwat. Sebelas lagi mangsa cedera parah dan dirawat di hospital itu. Hanya Nasir dan seorang lagi jemaah terselamat dalam serangan itu, tetapi terpaksa dirawat di Klinik Cho Airong dekat sini, ekoran trauma dan serangan jantung kerana terkejut.


PENDUDUK Islam Thai melihat jenazah mangsa serangan di masjid dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Cho Airong, Narathiwat, semalam.

Nasir berkata, tembakan bertalu-talu dari dari arah belakang dan tepi berlaku hampir 10 minit, menyebabkan ramai jemaah tumbang.

"Saya yang berada di hujung saf di sebelah kanan, turut merebahkan badan. Ketika kelam-kabut itu, saya merangkak di celah jemaah yang cedera dan berlumuran darah, menuju ke stor di sebelah tempat imam. Saya duduk di situ sehingga penyerang melarikan diri," katanya ketika ditemui semalam.



ORANG ramai melihat mayat mangsa serangan di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, malam kelmarin.

"Secara tiba-tiba, saya terdengar bunyi tembakan bertalu-talu macam bertih goreng dari arah masjid. Saya terus berlindung di sebalik pintu rumah dan sejurus selepas itu, terdengar jeritan penduduk kampung menyatakan masjid diserang.

"Serangan ini amat kejam. Mereka tergamak menyerang dan membunuh umat Islam yang sedang solat," katanya dengan nada sedih mengenangkan kematian suaminya yang sudah 15 tahun menjadi imam masjid itu.

Adik Wan Abdullah, juga seorang imam, Wan Ismail Wan Latif, 58, berkata selain abangnya, turut terkorban ialah lapan ahli kumpulan tabligh yang berkunjung ke masjid itu sejak tiga hari lalu.

Jenazah semua mangsa disemadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan kampung itu kira-kira 11 pagi semalam dengan dihadiri kira-kira 2,000 penduduk termasuk kumpulan pelajar pondok sekitar Narathiwat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Razak Ali, yang meninjau tempat kejadian pagi semalam, mengutuk serangan kejam itu.

"Serangan kejam ini didalangi pihak yang tidak mahu melihat keamanan dinikmati semua penduduk di selatan Thailand. Mereka yang berbuat begini sebenarnya mahu melihat selatan Thailand terus berada dalam pergolakan," katanya.
Category: 0 comments
VOTE ONLINE PRU13:
"Setujukah anda DSAI dilantik Perdana Menteri Malaysia ke 7?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.


COUNTDOWN JANGKA HAYAT UMNO BN

Popular Posts